LIMBANG, 11 September -Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 yang dilancarkan hari ini akan menjadi nadi penghubung penting antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata melalui SSLR, rakyat di kawasan utara Sarawak tidak lagi terbeban dengan caj lintasan, urusan pasport atau perlu melepasi pos imigresen sebelum sampai ke destinasi.
Beliau berkata laluan itu juga akan membuka peluang ekonomi baharu buat masyarakat pedalaman, melengkapkan prasarana asas serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
"Bagi rakyat di Limbang, Lawas dan kawasan pedalaman utara Sarawak, projek ini amat signifikan. Selama ini, ramai yang bergantung kepada jalan balak yang bergantung pada cuaca dan memakan masa panjang. Dengan siapnya SSLR nanti, perjalanan ke Miri atau Sabah akan lebih mudah, selesa dan menjimatkan kos.
"Saya percaya, SSLR bukan sekadar membina jalan raya, tetapi ia adalah jalan penyambung kehidupan menghubungkan komuniti, membuka akses kepada pendidikan, kesihatan dan ekonomi, serta merancakkan sektor pelancongan eko dan agro yang kaya di bumi Sarawak katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan projek SSLR Fasa 2 di Nanga Medamit di sini.
Projek SSLR Fasa 2 dijangka siap pada 2029 melibatkan anggaran kos RM7.6 bilion.
Projek sepanjang 335 kilometer itu akan menghubungkan kawasan Mulu, Nanga Medamit (Limbang), Long Luping (Lawas) serta Ba'kelalan.
Projek tersebut merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, jejambat, lampu jalan dan sistem perparitan.
SSLR Fasa 2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 bermula dari Lawas ke Long Luping yang dimulakan pada 2021 dan kini telah mencapai kemajuan pelaksanaan sebanyak 57.6 peratus.