PUTRAJAYA, 21 Ogos -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengusulkan supaya perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu penting memandangkan terdapat pihak yang menggunakan media sosial untuk memesongkan fakta perbicaraan sehingga menimbulkan fitnah dan tuduhan tidak berasas.
"Saya percaya media arus perdana melakukan perkara yang betul. Namun di media sosial ada pihak cuba memanipulasi isu. Dengan adanya siaran langsung, semua orang dapat melihat sendiri perjalanan prosiding mahkamah. Ini satu pembaharuan yang baik kerana menunjukkan ketelusan kerajaan," katanya.
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata SPRM juga akan mengusulkan semua lokap agensi penguatkuasa dipasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI).
Ia bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan mencegah salah laku berikutan CCTV ketika ini sudah usang dan tidak disambungkan ke pusat kawalan.
"Saya sarankan CCTV yang digunakan bukan sekadar CCTV biasa. Pertama, ia perlu dilengkapi sistem AI. Kedua, ia mesti disambungkan terus ke pusat kawalan, bukan berfungsi secara berasingan," tambahnya.