fb fb fb fb fb

SPRM tidak pilih bulu berkaitan isu rasuah

Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah memilih bulu dalam menjalankan siasatan membabitkan isu rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan tiada sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan rasuah termasuk kes membabitkan wartawan ataupun ahli politik.

"Siasatan yang kita jalankan akibat perbuatan wartawan berkenaan meminta suapan berjumlah RM20,000 dan ia telah diperoleh individu tersebut. Dia telah ditangkap dan disiasat bawah Seksyen 16 (A) Akta Pencegahan Rasuah 2009.

"Bawah peruntukan berkenaan, seseorang individu tidak boleh untuk meminta sebarang suapan pada mana-mana pihak bagi tujuan melakukan atau tidak melakukan suatu perkara yang mana perkara itu tidak boleh dilakukan oleh seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM berkenaan ketika mengulas penahanan wartawan sebuah portal berita di Shah Alam pada Jumaat selepas disyaki meminta rasuah RM20,000 daripada seorang ejen pekerja warga asing.

SPRM memberi jaminan akan melakukan siasatan secara profesional, telus dan adil bagi membuktikan individu berkenaan melakukan kesalahan atau tidak selain menegaskan pihaknya tidak pernah bersikap 'pilih bulu' dalam perkara tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI