KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited melahirkan pegawai terlatih dari segi pengetahuan perundangan, kemahiran penyiasatan dan pembinaan karakter.
Ia bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tugas pegawai SPRM untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan seramai 111 orang pegawai kadet Penolong Penguasa gred P29 menjalani Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 28 Bilangan 1 Tahun 2023 merangkumi Program Akreditasi Kursus Asas SPRM dan pengajian Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5), selama sembilan bulan.
Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, kadet akan dianugerahkan 'Post Graduate Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5)' setelah selesai melengkapkan modul kursus asas yang ditetapkan.
Beliau berkata program ini merupakan kolaborasi di antara SPRM dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom sejak 2018.
"Kadet juga telah melepasi ujian poligraf yang merupakan syarat penting sebelum memasuki kursus asas ini bagi memastikan calon memiliki tahap integriti yang tinggi untuk menjadi pegawai SPRM", katanya.
Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 28 Bilangan 1 Tahun 2023 (Penolong Penguasa P29) akan dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Hj. Azam Baki pada 24 Oktober ini.
“Majlis ini diadakan buat julung kalinya di pusat latihan asas SPRM, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Ia merupakan pusat latihan asas pertama dimiliki SPRM dan diuruskan oleh MACA selaku pengendali program latihan dan kursus dalam meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai dan kakitangan SPRM.
“Pusat latihan seluas lebih kurang 24,000 meter persegi diserahmilik oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada SPRM pada 1 November 2023 mampu menampung lebih kurang 200 orang kadet dan memiliki fasiliti asas seperti padang kawad, asrama penginapan, dewan kuliah, kafeteria, surau dan dataran rehat”, katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, SPRM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan atas komitmen penuh dari segi peruntukan kewangan, perjawatan, logistik dan kepercayaan kepada SPRM bagi memastikan agenda pembanterasan rasuah mencapai sasaran CPI kedudukan 25 terbaik dalam masa 10 tahun.