fb fb fb fb fb

SPM kekal diteruskan, meski Melaka cuti umum pada 20 Februari - Exco

Foto Fail

AYER MOLEK, 15 Disember- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung pada 20 Februari 2024 nanti akan berjalan seperti biasa walaupun tarikh berkenaan merupakan hari cuti umum di Melaka.

Perkara itu dimaklumkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berharap calon dan petugas yang terlibat dengan peperiksaan SPM pada tarikh berkenaan tidak keliru dengan status peperiksaan itu.

20 Februari diwartakan sebagai tarikh cuti umum baharu di Melaka bagi memperingati Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara.

"Jadi, dalam waktu tersebut peperiksaan SPM sedang berjalan. Untuk makluman semua, kita tidak menangguhkan kertas peperiksaan pada tarikh tersebut iaitu kita ada empat kertas.

Maknanya, tiada penangguhan. Seramai 376 orang akan bertugas seperti biasa," kata Rahmad kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 20 Februari subjek peperiksaan SPM ialah Manahij al-‘Ulum al-Islamiah, Pendidikan Seni Visual Kertas 2, Pendidikan Muzik Kertas 1 dan Reka Cipta Kertas 1.

Peperiksaan SPM 2023 akan bermula pada 30 Januari hingga 7 Mac 2024.

Di Melaka, seramai 12,900 calon menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan dengan 1,255 petugas akan berkhidmat sepanjang peperiksaan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM