
KAJANG, 31 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini menjadi titik permulaan penting buat pelajar dalam meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan.
- Pelajar merancang menyambung pengajian mengikut minat: kejuruteraan, reka bentuk grafik atau IT, serta memohon matrikulasi atau universiti tempatan.
- Disiplin dan konsisten ulang kaji, elakkan belajar saat akhir; gunakan latihan soalan percubaan dan jadual belajar tetap.
- Penghargaan tinggi kepada guru dan ibu bapa sebagai tulang belakang kejayaan; pelajar gembira dengan pencapaian masing-masing.
Tinjauan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua mendapati calon SPM 2025 menyatakan rasa syukur dan gembira atas pencapaian masing-masing
Seorang calon, Tan Tze Hao, berkata dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan, khususnya kejuruteraan mekanikal.
“Sekarang saya ambil pengajian A-Level dan ingin mengambil bidang kejuruteraan mekanikal.
“Jangan buat ulang kaji pada saat akhir. Terus konsisten mengulang kaji selama satu bulan sebelum peperiksaan, anda pasti akan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Nur Hadirah Mohd Salleh menyifatkan keputusannya sebagai memuaskan dan menunjukkan peningkatan berbanding peperiksaan percubaan.
“Saya bercadang untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang eka bentuk grafik,” katanya.
Bagi Lim Liang Yi, disiplin dalam belajar menjadi kunci kejayaan apabila beliau memperuntukkan kira-kira enam jam sehari untuk ulang kaji.
“Saya juga menumpukan kepada latihan soalan percubaan terdahulu dan analisis soalan.Sekiranya berpeluang, saya ingin memohon universiti tempatan, mungkin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.
Dalam pada itu, Ching Yoong meluahkan rasa gembira kerana berjaya lulus semua mata pelajaran, selain menghargai usaha guru yang banyak membantu sepanjang tempoh pembelajaran.
“Saya sangat gembira kerana lulus semua mata pelajaran. Terima kasih kepada cikgu yang ajar saya,” katanya.
Seorang lagi calon SPM 2025, Lim Rui Zhe pula merancang untuk memohon kemasukan ke program matrikulasi atau mendapatkan biasiswa di universiti swasta.
“Perancangan saya untuk memohon pengajian di matrikulasi atau memohon biasiswa di universiti swasta. Saya meminati bidang IT kerana bidang itu
popular dan bidang kerja juga sangat luas,” katanya.
Kesemua calon turut merakamkan penghargaan kepada guru serta ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.