SPM 2025 di Kelantan: 421 calon raih semua A, GPN bertambah baik kepada 4.60

Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad

KOTA BAHRU, 31 Mac – Seramai 421 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil, dengan 11 calon meraih semua A+.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gred Purata Negeri (GPN) kekal bertambah baik kepada 4.60, meningkat 0.02 mata berbanding 2024.
  • Kelayakan anugerah sijil SPM meningkat kepada 19,727 calon atau 96.27 peratus, naik 0.28 peratus berbanding tahun lalu.
  • Kehadiran calon sekolah kerajaan tinggi pada 98.08 peratus; bilangan tidak hadir KPM menurun sebanyak 107 orang.

Pengarah Pendidikan Negeri, Siti Norina Muhamad berkata, pencapaian itu mewakili 2.12 peratus daripada keseluruhan calon sekolah kerajaan di negeri berkenaan.

Menurut beliau, seramai 26,072 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di Kelantan pada tahun ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kehadiran calon sekolah kerajaan adalah seramai 20,387 orang, iaitu 98.08 peratus daripada 20,784 calon.

“Bilangan calon Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak hadir bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2025 adalah seramai 397 orang, iaitu 1.95 peratus, berbanding 504 orang atau 2.46 peratus pada SPM 2024. Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 107 orang.

“Keadaan ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif serta intervensi yang dilaksanakan oleh KPM bersama pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media di Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan SPM 2025 Kelantan di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, seramai 19,727 calon sekolah kerajaan layak dianugerahkan sijil SPM pada 2025, iaitu 96.27 peratus, berbanding 19,111 calon atau 95.99 peratus pada tahun 2024. Pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 616 orang atau 0.28 peratus.

JPN Kelantan turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar melalui pelbagai inisiatif.

Antara sekolah luar bandar yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam keputusan SPM ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Dangar, Pasir Mas serta SMK Sungai Petai, Pasir Puteh.

Kelantan turut merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.60 mata bagi SPM 2025 berbanding 4.62 mata pada SPM 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.02 mata.