PASIR MAS, 2 Disember – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kelantan yang terjejas akibat banjir tetap menduduki peperiksaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dengan semangat positif walaupun persediaan mereka terbatas.
Salah seorang calon, Nur Asyikin Mohd Zafri berkata persiapannya terjejas kerana rumahnya ditenggelami air setinggi dua meter sejak lima hari lalu.
“Sepanjang banjir, saya menumpang di rumah ibu saudara di Kampung Kok Batu, Rantau Panjang. Namun, selepas ketiadaan elektrik, saya memilih untuk tinggal di asrama,” katanya.
Menurutnya, dia dan beberapa rakannya dihantar ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Satu dengan menaiki trak tentera pada hari sebelumnya.
Walaupun menghadapi situasi yang sukar, Nur Asyikin berkata dia berusaha untuk kekal positif agar dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.
Calon lain, Samsinasuri Saiful Bahari memanfaatkan masa di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakannya.
“Kami menghadapi kesukaran untuk menghubungi rakan lain kerana ketiadaan bateri telefon,” katanya.
Samsinasuri merupakan salah seorang calon SPM 2024 yang terpaksa menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif akibat banjir yang melanda negeri itu.