fb fb fb fb fb

SPIC 2025 himpunkan pakar pendidikan awal kanak-kanak

Datuk Seri Fatimah Abdullah (dua dari kanan) mengadakan kunjung hormat ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar di Kompleks DUN Sarawak

KUCHING, 23 September - Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak (SPIC) 2025 bakal menghimpunkan 1,350 peserta melibatkan pendidik, penyelidik, penggubal dasar dan pengasuh dari dalam dan luar negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 350 hadir secara fizikal manakala 1,000 lagi secara maya.

"Konvensyen itu anjuran pihaknya bersama-sama Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak bakal berlangsung pada Jumaat (26 September) hingga Ahad ini di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

"SPIC 2025 bertemakan 'Building the Nation Through Quality Early Childhood Education', sekali gus menjadikan Sarawak pusat tumpuan pakar pendidikan awal kanak-kanak di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjung hormat ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar di pejabatnya di Kompleks DUN Sarawak di sini hari ini.

Majlis perasmian itu akan disempurnakan Tan Sri Mohamad Asfia pada Jumaat ini.

Antara pengisian utama termasuk pembentangan pakar antarabangsa dari Singapura, Filipina, Jepun, China, Indonesia dan Malaysia, forum bersama UNICEF Malaysia, bengkel, pameran serta lawatan tapak ke prasekolah berprestasi tinggi.

Penyertaan besar itu menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap usaha Sarawak dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas kepada pembangunan modal insan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI