fb fb fb fb fb

Spekulasi rombakan pegawai kanan PDRM tidak benar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan kononnya berlaku rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi Bukit Aman.

Beliau menegaskan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh ibu pejabat polis persekutuan berhubung dakwaan itu.

Razarudin berkata pihaknya telah mengesan satu laporan berita daripada sebuah portal dalam talian yang memetik sumber mengenai dakwaan perancangan pertukaran beberapa pegawai kanan PDRM.

"PDRM ingin menegaskan, tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.

"PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita itu.

“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, portal dalam talian itu melaporkan dengan mendakwa beberapa pegawai kanan termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain antara mereka yang akan terlibat dengan rombakan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN