fb fb fb fb fb

SPE: Lebuh raya selamat, alat pengesan keretakan dipasang sebagai langkah proaktif - KKR

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras dan selamat untuk digunakan.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, pemeriksaan dan siasatan terperinci secara dekat telah dilaksanakan menggunakan jentera kren pengangkat (skylift).

Hasil siasatan ke atas struktur berkaitan mendapati ia hanyalah kesan hitam di atas permukaan konkrit "crosshead". 

Tambah beliau, alat pengesan keretakan akan segera dipasang pada struktur persimpangan bertingkat di Jalan Cheras bagi memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan.

"Saya juga hendak memaklumkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dalam membuat pemantauan dalam beberapa minggu ini."

"Kita akan letakkan alat pengesan keretakan, supaya jika ada pergerakan kita akan dapat isyarat awal daripada langkah itu," kata Nanta kepada pemberita selepas meninjau struktur persimpangan bertingkat SPE di Jalan Cheras, menggunakan kren pengangkat, diiringi Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun.

Pemasangan alat berkenaan merupakan satu langkah proaktif dalam memastikan struktur tersebut benar-benar selamat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM