fb fb fb fb fb

SPAN amal toleransi sifar isu rasuah, tadbir urus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memandang serius sebarang isu melibatkan tadbir urus, rasuah atau salah laku yang boleh menjejaskan tahap perkhidmatan dan imej industri perkhidmatan air negara.

Perkara itu merujuk kepada penahanan dua pegawai kanan syarikat pembekalan air di Johor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lepas.

SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan selaku agensi yang mengawal selia industri perkhidmatan air negara, agensi itu mengamalkan 'Toleransi Sifar' terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam industri perkhidmatan air.

"SPAN ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan atasan syarikat perkhidmatan bekalan air untuk memastikan organisasi mengamalkan tahap integriti dan etika tertinggi serta kawalan dalaman terbaik seperti yang ditetapkan dalam syarat khas lesen yang mewajibkan pematuhan kepada Rangka Kerja Integriti dan Anti Rasuah," katanya.

Bagaimanapun SPAN memohon organisasi berkaitan untuk mematuhi segala akta dan peraturan yang termaktub dan menegaskan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan akta dan bidang kuasanya ke atas mana-mana individu atau organisasi yang disyaki melakukan sebarang ketidakpatuhan bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"SPAN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam usaha untuk memastikan industri perkhidmatan air negara bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI