fb fb fb fb fb

Mohamad Alamin ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar OIC di Jeddah esok

Mohamad Alamin

PUTRAJAYA, 4 Mac- Mesyuarat tergempar akan diadakan antara delegasi Malaysia bersama wakil dari negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikutan keganasan berterusan oleh Israel di bumi Gaza ketika ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Menteri Luar Negeri OIC di Jeddah, Arab Saudi, esok.

"Mesyuarat Tergempar ini akan disertai oleh Menteri-menteri Luar Negeri dan wakil daripada Negara-negara Anggota OIC. 

"Mesyuarat Tergempar ini diadakan melihat kepada keganasan berterusan oleh Israel di Semenanjung Gaza, termasuk serangan di Rafah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia juga akan membincangkan pelaksanaan perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bersama Liga Arab dan OIC pada November lalu.

Semasa sesi itu, Mohamad akan membangkitkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.

"Beliau juga akan menjelaskan pendirian dan sokongan Malaysia kepada OIC dalam mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

"Sebagai sebuah negara pengasas OIC, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB," menurut kenyataan itu.

SITI AISHAH MD ISA