fb fb fb fb fb

Solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjejas banjir

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 29 Disember - Hampir 5,000 jemaah menyertai solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas solat Jumaat, bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara, penduduk terjejas banjir serta untuk rakyat Palestin.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Ustaz Nor Azamir Alias berkata, masjidnya akan meneruskan solat hajat setiap kali selepas solat fardhu Zohor dan Maghrib.

"Solat hajat kita bertujuan mendoakan kesejahteraan kepada saudara mara kita yang berada di Pantai Timur khususnya yang sedang diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir, kita doakan kesejahteraan mereka dikurniakan rezeki dan keselamatan dan segala urusan bantuan dan pertolongan oleh pihak kerajaan dan pihak tertentu dapat dilaksanakan dengan baik, semuanya terpelihara daripada bala bencana ataupun musibah kemalangan kehilangan nyawa," kata Ustaz Nor Azamir, di sini.

Solat Hajat itu telah dimulakan selepas solat Maghrib malam tadi dan turut dilaksanakan di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra, di sini.

Ketika ini, beberapa negeri di Pantai Timur dilanda banjir besar dan dikhuatiri bencana itu akan berlanjutan dalam beberapa hari.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengajak orang ramai untuk sama-sama mengadakan solat hajat agar dipermudahkan urusan dan dijauhi musibah.

TETITIA YUSOFF