fb fb fb fb fb

SolaRIS, galakkan pemasangan sistem solar PV di kediaman pengguna domestik

Kerajaan bakal memperkenalkan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) iaitu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di premis kediaman di bawah program Net Energy Metering (NEM) / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 27 Mac - Kerajaan bakal memperkenalkan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) iaitu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di premis kediaman di bawah program Net Energy Metering (NEM).

Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemasangan sistem solar PV di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah 'quick wins' bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

"Mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan perlepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Fadillah, pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program NEM, dengan ketetapan pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.

Skim itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan juga terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi program NEM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN