
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa snek popular dari Korea Selatan seperti yang disiarkan dalam beberapa akhbar utama pada 27 Februari tidak pernah mendapat sijil halal jabatan itu.
- JAKIM sahkan snek Korea Selatan itu tiada logo halal diiktiraf pada pembungkusan produk.
- Ketua jabatan menafikan sijil halal dikeluarkan untuk produk terbabit.
- Orang ramai dinasihatkan semak label dan kandungan sebelum membeli untuk elak produk tidak halal.
- Laporan boleh dibuat segera kepada pihak berkuasa jika terdapat penyalahgunaan logo halal.
JAKIM menerusi kenyataan media memaklumkan, ia susulan dakwaan kewujudan ramuan berasaskan babi dalam snek popular dari negara itu.
“Produk berkenaan merupakan produk import dari Korea Selatan dan tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf JAKIM pada label pembungkusan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan Halal luar Negara yang diiktiraf. Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai disaran agar membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal untuk tindakan lanjut.