JERLUN, 27 Februari- Projek Skim Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) boleh dijadikan panduan dalam memperkasa dan memantapkan sistem pengurusan padi di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan projek tersebut turut diungkapkan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ketika beliau menghadap baginda di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.
"Malah di Kedah, projek zakat ini dilaksanakan di Yan, bukan di Sik. Tuanku (Sultan Kedah) tadi pun menyebut bahawa baginda berbangga dengan projek yang dilaksanakan di Yan.
"Kita boleh melihat apa yang dibuat oleh zakat, apa yang lain dan apa keistimewaannya. Jadi, kita boleh belajar dan mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda Fasa 1, Kampung Pida 4 di sini hari ini.
LZNK telah melaksanakan inisiatif Smart SBBA atas tanah seluas 201.7 hektar melibatkan daerah Yan, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kota Setar. Projek itu diusahakan oleh peserta terpilih dalam kalangan asnaf fakir dan miskin setempat.
Peserta Smart SBBA mengendalikan sendiri keseluruhan proses pertanian, bermula daripada pembenihan, penanaman, membajak sehingga ke peringkat akhir.
Selain itu, LZNK turut mengusahakan tapak semaian padi benih sendiri bagi mengurangkan kos petani di bawah program ini.
Melalui inisiatif ini, peserta Smart SBBA tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada padi benih yang dijual di pasaran, sekali gus dapat menjimatkan kos dan menghasilkan padi berkualiti tinggi.
BERITA BERKAITAN