KUALA LUMPUR, 19 November- Penyertaan pelbagai jenama global dalam Smart Nation Expo 2024 membuktikan keyakinan syarikat asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital utama.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, acara sebegini adalah amat penting untuk membawa bersama industri, khususnya apabila melihat daripada aspek Bandar Pintar dan Negara Pintar.
"Kita ada lebih kurang 600 syarikat yang membawa produk mereka untuk ditunjukkan di sini dan peserta lebih kurang 70 negara dari seluruh dunia.
Ini menunjukkan memang ada banyak negara-negara serantau dan peringkat global yakin kepada Malaysia sebagai tempat mereka boleh meletakkan pelaburan. Selain itu, mereka boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk memasarkan produk-produk," kata Gobind kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Smart Nation Expo 2024 di ibu negara.
Tambah beliau, ekspo yang memasuki kali ketiga diadakan di Malaysia itu menunjukkan hasil yang cukup meyakinkan apabila berjaya mengumpulkan lebih 20,000 peserta.
Smart Nation Expo merupakan pameran teknologi terkemuka di Asia Tenggara yang membawakan pameran mengenai inovasi saling berhubung dalam bandar pintar, pertanian lestari dan mobiliti elektrik.
Bertemakan 'Inovasi Pintar untuk Transformasi Digital,' ekspo itu berlangsung dari 19 hingga 21 November di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).