fb fb fb fb fb

Skuad Uniti JPNIN diaktifkan, bantu penduduk terjejas banjir

Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, Zulkifli Hashim / Foto RTM

GUA MUSANG, 8 November-Hampir 200 skuad Uniti yang ditubuhkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di seluruh negara sudah diaktifkan bagi membantu penduduk di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang terlibat dengan bencana banjir ketika musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Zulkifli Hashim berkata, Skuad Uniti telah diberi latihan bagi membantu komuniti setempat serta agensi keselamatan yang terlibat sekiranya berlakunya bencana banjir di kawasan mereka.

Menurut Zulkifli, Skuad Uniti akan bekerjasama dengan 8,485 Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk membantu mangsa ketika banjir dan pascabanjir.

"Kita siapkan semua kepada jentera-jentera skuad Uniti. Skuad uniti kita, insya-Allah di seluruh negara sudah bersiap sedia.

"Bila berlaku saja kita akan mengikut arahan dari Pegawai Daerah atau Pegawai Jajahan bagaimana hendak membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana ini", katanya demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Sempena Program Jalinan Integrasi Nasional Mahasiswa Negeri Kelantan di penempatan Masyarakat Orang Asli Pos Tuel di sini.

Zulkifli turut berkata, Skuad Uniti akan turut bekerjasama dengan semua agensi keselamatan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD