(Ahli Lembaga PERKESO, Datuk Nadzaruddin Abdul Razak)
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan 300,000 golongan itu untuk mendaftar pada tahun ini.
Sehingga kini jumlah suri rumah yang telah mendaftar mencapai 160,000 orang sejak dikuatkuasakan pada 1 Disember 2022.
Keseluruhan suri rumah di seluruh negara dianggarkan seramai 3 juta orang.
Ahli Lembaga PERKESO, Datuk Nadzaruddin Abdul Razak berkata, pelbagai maklum balas diterima PERKESO berkaitan pendaftaran skim SKSSR dilihat rendah daripada sasaran yang diletakkan.
(Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO) menyasarkan 300,000 golongan itu untuk mendaftar pada tahun ini)
Pihaknya akan meningkatkan lagi pengetahuan dan penyebaran maklumat berkaitan kebaikan skim itu ke peringkat akar umbi.
Di samping itu juga PERKESO akan menggembleng kekuatan agensi kerajaan yang sedia ada seperti kerjasama bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
"Maklum balas yang kita terima adalah para suri rumah atau pencarum mendapati agak sukar untuk mereka mencarum, oleh itu kita selepas ini akan lebih banyak lagi menambahkan lagi saluran-saluran untuk membuat caruman, contoh menerima penggunaan kredit kad, ataupun e-wallet, atau pembayaran secara dalam talian,"
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Faedah kepada Orang Berinsuran Dan Waris di Ibu Pejabat PERKESO, di sini hari ini.