fb fb fb fb fb

SKSD 2.0: Permohonan bayaran tunai daripada penerima manfaat bermula 1 Julai

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 Jun- Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran tunai daripada penerima manfaat Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada 1 Julai 2024 (Isnin).

Kemudahan ini terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0, tetapi masih belum mendapat kad fleet.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

Menurut kenyataan itu, penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, dengan had liter bulanan seperti yang ditetapkan.

"Terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini adalah pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024, tetapi masih belum menerima fleet card.

Permohonan kad fleet perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai 2024. Tuntutan akan diterima bermula 1 Julai 2024.

"Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit. Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan.

Katanya, mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun 2024 sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mekanisme pembayaran semula ini bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel dan sekali gus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan.

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

"Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Kerajaan menggesa pemilik-pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak untuk memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan.

"Saya ingin mengulangi bahawa Kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya", kata Datuk Seri Amir Hamzah dalam kenyataan.

Pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 menerusi https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

ROSLINA BINTI DIN