KUALA LUMPUR, 27 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat secara langsung berhubung video muzik Hari Raya Aidilfitri yang menjadi kontroversi oleh usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekatan perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang dan atas perintah mahkamah.
“Kalau kita sekat dahulu, orang boleh saman kita. Kalau mahu sekat, perlu berdasarkan kepada undang-undang.
“Kementerian tidak boleh sekat. Yang boleh buat keputusan sekat adalah mahkamah. Kementerian hanya melaksana.
“Kalau menteri boleh sekat. Saya hari-hari ada benda nak sekat. Tapi kena ikut undang-undang. Dia ada kaedah,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama media, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu rakaman klip video raya usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.
(Tangkap layar video klip raya Aliff Syukri yang menimbulkan kontroversi dan kecaman pelbagai pihak)
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan pandangan berhubung klip video berkenaan kerana bimbang akan dianggap prejudis terhadap penyiasatan yang sedang dilakukan oleh pihak SKMM.
Semalam, Aliff Syukri hadir ke Ibu Pejabat SKMM hampir selama lima jam untuk memberi keterangan dan dirakam percakapan berhubung berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi dan menerima kecaman orang ramai.
Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika bulan Ramadan.