KOTA BHARU, 17 Mei - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan memberi tumpuan untuk menggalakkan lebih banyak koperasi di negeri itu menceburi bidang perniagaan atau aktiviti ekonomi berskala besar bagi menjamin sumber pendapatan lebih lumayan.
Pengarah SKM negeri, Zainudin Mohamed berkata pihaknya menyediakan inisiatif menarik selain merangka pelbagai program bertujuan membantu koperasi berminat untuk mengembangkan perniagaan diusahakan.
"Antara produk-produk yang kita sediakan adalah seperti bantuan kewangan, geran dan kita juga ada pinjaman dengan kadar yang lebih kompetitif berbanding institusi kewangan konvensional, yang pentingnya mereka perlu, pihak lembaga koperasi perlu kreatif mencari perniagaan yang dapat dibuat bersama-sama dan mungkin memberi pendapatan yang lebih tinggi daripada biasa mereka buat,"
Beliau bercakap kepada RTM ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Gerakan Koperasi Negeri Kelantan Sempena Aidilfitri, di sini hari ini.
(Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan, Zainudin Mohamed)
Mengulas lanjut, Zainudin berkata untuk tempoh hampir lima bulan pertama tahun ini sahaja lebih RM6 juta nilai pinjaman dikeluarkan pihaknya untuk membantu koperasi di negeri itu menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi.
Ini termasuk perniagaan dalam sektor pertanian, perikanan, hartanah,perniagaan Ar Rahnu, dobi dan sebagainya.
Ketika ini, terdapat hampir 1,000 buah koperasi aktif berdaftar di bawah SKM Kelantan dengan keahlian mencecah lebih 300,000 orang.