fb fb fb fb fb

Skim 'Rent to Own' akan diperluas

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Skim 'Rent to Own' akan diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai golongan B40 dan M40 memiliki rumah, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Katanya, dalam usaha menyediakan pakej pembiayaan perumahan yang menarik dan mampan, kerjasama dengan institusi kewangan akan diteruskan.

"Setakat ini, sejumlah 28,583 unit Kediaman SPNB telah siap dibina manakala 1,024 unit dalam pembinaan dan 531 unit dalam perancangan di seluruh negara.

"PR1MA juga telah membina sebanyak 35,454 unit Rumah Mampu Milik (RMM) manakala sebanyak 14,427 unit dalam pembinaan dan 3,765 unit dalam perancangan di seluruh negara setakat 15 Oktober," katanya.

Kerajaan juga katanya, telah bersetuju untuk menetapkan saiz keluasan yang baharu bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluas 750 kaki persegi dengan menetapkan standard minimum untuk setiap unit PPR tersebut dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Beliau berkata ia merupakan hala tuju baharu pelaksanaan PPR berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan daya huni penduduk perumahan itu.

"KPKT dengan hala tuju yang baharu juga menetapkan supaya PPR baharu yang dibina akan menjadi lebih bersepadu dengan kemudahan lain termasuk termasuk padang riadah, medan selera dan kedai serbaneka," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya telah menyediakan inisiatif bagi meningkatkan pemilikan rumah dengan melaksanakan inisiatif i-Biaya.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000. Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA), Takaful Gadai Janji (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian," katanya.

Nga berkata sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 hingga 30 September lepas, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan selain kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam.

Sementara itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan sebanyak 1,558 operasi bersepadu sejak 2022 hingga 31 Ogos lepas.

"Setakat September 2023, sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan PBT atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen dan premis,” katanya.

TETITIA YUSOFF