fb fb fb fb fb

Skim pinjaman bercagar KWSP penambahbaikan untuk kelulusan pembiayaan

(Dr Mohd Afzanizam)

KUALA LUMPUR, 7 April - Fasiliti pembiayaan kewangan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu bentuk penambahbaikan kepada pemohon bagi meningkatkan kadar kelulusan pinjaman.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat (M) Bhd. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia juga memberi peluang kepada pencarum dengan keperluan mendesak untuk mendapat pembiayaan kewangan.

Menjelaskannya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia beliau berkata, cagaran akaun dua sebagai syarat pinjaman sebenarnya mewujudkan situasi menang-menang sama ada kepada peminjam, mahupun institusi perbankan yang meluluskan pembiayaan.

"Kalau terma perbankan ini...'secured financing', atau pinjaman itu mempunyai satu sandaran. Justeru apabila pihak bank menilai sesuatu permohonan pembiayaan tersebut, maka sokongan seperti ini sudah pasti akan menambah 'score'nya , untuk mendapat fasiliti pembiayaan daripada pihak bank.

"Pinjaman tersebut mempunyai satu sokongan. Jadi, dari segi risikonya itu rendahlah. Sudah pasti penilaian pihak bank terhadap peminjam tersebut ataupun pelanggan tersebut berbeza. Soal kadar faedah ataupun kadar keuntungan, kita panggil 'profit rate' atau kadar keuntungan sekitar 4% hingga 5%masih lagi mendatangkan suatu bentuk margin keuntungan yang baik dan apatah lagi ada juga jangkaan bahawa kadar dasar semalaman ataupun OPR itu bakal dikekalkan. Jadi kalau perkara itu berlaku, sudah pasti keuntungan bagi pihak bank masih lagi terjamin," kata Dr Mohd Afzanizam, di sini.

Bagi Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, konsep pinjaman bersyarat itu membolehkan pencarum kekal mendapat manfaat jangka panjang untuk persaraan.

(Dr Ahmed Razman ketika menjadi tetamu dalam Selamat Pagi Malaysia)

Selain mendapat aliran tunai bagi menyelesaikan kebuntuan kewangan, ia turut mengekalkan simpanan, yang membolehkan pencarum terus menikmati dividen tahunan.

"Simpanan ahli itu kekal dalam akaun dua yang membolehkan mereka mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka. Dan satu lagi ciri unik dalam fasiliti ini ialah mereka boleh buat permohonan awal untuk melunaskan pinjaman mereka itu pada umur antara 50 hingga 55 tahun.

"Bermakna, walaupun pinjaman itu 10 tahun, mereka boleh selesaikan pinjaman itu kurang daripada 10 tahun melalui pengeluaran dalam akaun 2. Kalau terus keluar maknanya kita kehilangan manfaat untuk dapat dividen setiap tahun dan juga tidak dapat menggunakan akaun 2 untuk maksud lain. Pada hari tua nanti, masih lagi ada ruang untuk mereka menambahkan simpanan melalui akaun 1 dan akaun 2 dan juga apabila mereka bersara, komitmen hutang ini pun dapat dilangsaikan melalui permohonan awal pengeluaran bersyarat tersebut," katan Dr Ahmed Razman.

Media Baharu