
PUTRAJAYA, 3 Februari – Aspek perjawatan dan skim perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijangka dimuktamadkan menjelang awal suku kedua tahun ini.
- Skim perjawatan dan perkhidmatan AKPS dalam peringkat akhir JPA dan dijangka dimuktamadkan awal suku kedua 2026.
- AKPS memerlukan 13,721 perjawatan untuk melancarkan operasi dan mengoptimumkan aset strategik berteknologi tinggi.
- Cadangan penubuhan Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk memberi tanggungjawab lebih besar kepada komander pintu masuk telah dikemukakan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara itu kini berada di peringkat akhir penelitian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kelulusan.
Menurutnya, AKPS memerlukan 13,721 perjawatan bagi melancarkan operasi sekali gus memastikan pintu masuk yang diwartakan sentiasa selamat.
“Perkembangan skim perkhidmatan sedang diperhalusi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk persetujuan dalam masa terdekat.
“Sejurus mendapat persetujuan Perdana Menteri, sesi penerangan akan dilakukan sebelum penawaran skim dibuat dan ini semua dijangka dapat diselesaikan pada hujung suku pertama tahun ini ataupun awal suku kedua 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat Ketua Pengarah AKPS di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan pengambilalihan aset milik agensi teras akan dilaksanakan bagi menyokong keperluan operasi.
“Ini kerana aset strategik dan berteknologi tinggi milik agensi teras hanya boleh dioptimumkan apabila AKPS mempunyai sumber manusia yang mencukupi selain mereka yang terlatih untuk mengendalikan aset itu kelak,” katanya.
Tambahnya, cadangan penubuhan Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserahkan kepada JPA untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, penubuhan PTJ akan memberi tanggungjawab lebih besar kepada komander pintu masuk termasuk di Pelabuhan Klang, Bukit Kayu Hitam, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Penubuhan PTJ ini tidak akan bermakna tanpa sumber manusia yang mencukupi di lapangan kelak,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, beliau berkata PTJ akan berfungsi seperti sebuah kontinjen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal selia aspek kewangan, kebajikan dan pentadbiran.