PUTRAJAYA, 20 Mei - Kerajaan bersetuju memperluaskan skim keilatan kepada pekerja warga asing yang bekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa bersama yang dipengerusikannya bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, perluasan skim tersebut termaktub di bawah Akta keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi memastikan kebajikan pekerja asing berkenaan, dilindungi.
Skim tersebut mempunyai pelbagai faedah termasuk pencen dan bantuan ilat, kemudahan pemulihan jasmani dan faedah pengurusan mayat selain memberi perlindungan 24 jam meliputi kematian atas sebarang sebab.
"Dengan adanya skim keilatan yang ditawarkan kepada pekerja warga asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini, mereka dapat RM4,500 untuk bantuan kos penghantaran pulang jenazah," katanya.
Bercakap pada sidang media di sini, Sim berkata pengenalan skim tersebut dijangka memberi penjimatan melebihi RM25.38 juta setahun kepada PERKESO yang sebelum ini membantu menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"PERKESO laksana CSR untuk penghantaran jenazah dan ini wang PERKESO sendiri, ini antara manfaat besar skim keilatan,” katanya.
Dalam pada itu, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut berhasrat menubuhkan unit pengaduan bagi pekerja asing serta merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk golongan itu.