fb fb fb fb fb

SKDS : Rayuan pelbagai syarikat akan dibentang kepada kabinet

Datuk Armizan Mohd Ali

PETALING JAYA, 27 Jun- Rayuan pelbagai syarikat, berhubung subsidi diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan dibentang untuk pertimbangan kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu telah dirujuk kepada Jawatankuasa Rayuan untuk semakan lebih terperinci.

"...mengambil maklum tentang rayuan daripada pelbagai pihak termasuk mereka yang terlibat dengan trak tunda ini dan semuanya telah dipertimbangkan. Kita telah analisis justifikasi yang dikemukakan.

"...sebaik sahaja jawatan kuasa rayuan membuat analisis tersebut kita akan bentang untuk pertimbangan. Setakat ini kabinet belum membuat keputusan kerana prinsip asasnya mereka yang layak adalah sekto-sektor atau jenis pengangkutan yang terlibat dalam penghantaran barang penting dan perkhidmatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini.

Dalam pada itu Armizan dalam datu kenyataan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melakukan kajian menyeluruh mengenai keperluan memperkukuh kerangka perundangan e-dagang untuk mewujudkan ekosistem lebih kondusif dalam sektor itu.

Armizan berkata kajian dijalankan dengan kerjasama konsultan yang dilantik bermula pada Mei dan dijangka selesai dalam tempoh setahun bertujuan memastikan kepentingan dan hak pengguna dipelihara.

"Satu kerangka perundangan baharu bagi mengawal selia sektor edagang dengan lebih berkesan dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun 2025.

"Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi memastikan satu kerangka perundangan e-dagang yang lebih komprehensif sejajar dengan perkembangan teknologi dan tuntutan semasa," katanya menerusi hantaran itu.

Antara akta yang terkait termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Kerangka asas perlindungan pengguna turut terangkum dalam Akta Kontrak (1950) dan Akta Jualan Barangan 1957 yang masih terpakai dan perlu dilakukan semakan bagi meningkatkan perlindungan serta hak pengguna.

Sementara itu, dapatan kajian hasil maklum balas dengan semua pihak termasuk komuniti peniaga sedia ada di platform e-dagang akan dikemukakan untuk melihat keperluan mewujudkan satu perundangan atau akta khusus serta pindaan kepada kerangka perundangan akta sedia ada.

Malaysia juga menyasarkan pencapaian RM1.25 trillion menjelang 2025 selepas sektor e-dagang di negara ini menunjukkan pencapaian melepasi angka satu trillion sejak 2021.

Pada masa sama Armizan turut meminta pengguna untuk menyalurkan aduan mengenai peniaga yang tidak memaparkan harga pada barang jualan kepada KPDN untuk tindakan penguatkuasaan dengan segera.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI