fb fb fb fb fb

Skandal LCS: PAC telah terima laporan JKSTUPKK yang dinyahklasifikasikan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah menerima laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung perolehan enam Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV) Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dinyahklasifikasikan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan memaklumkan ia sejajar keputusan Kabinet pada 10 Ogos lepas yang mengarahkan JPM menyahklasifikasikan laporan berkenaan.

Ia bertepatan dengan syor PAC dalam laporannya mengenai perolehan LCS yang dibentangkan di Parlimen 4 Ogos lepas.

(Pengerusi PAC, Wong Kah Woh)

“Ada beberapa fakta dalam laporan berkenaan yang dipadamkan oleh JPM, namun pada keseluruhannya ia tidak menjejaskan fakta keseluruhan laporan berkenaan.

“Bagaimanapun, PAC tetap berpendirian bahawa pemadaman maklumat tersebut adalah tidak perlu kerana maklumat berkenaan dengan Pengarah dan Pemegang Saham Boustead Holdings Bhd, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Perstim Industries Sdn Bhd yang dipadamkan sememangnya merupakan maklumat terbuka dan boleh didapati menerusi carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Menurut beliau, laporan JKSTUPKK berhubung projek LCS itu boleh diakses di pautan https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-317.pdf.

Wong berkata PAC juga masih menunggu laporan pengauditan forensik yang dibuat syarikat BNS untuk dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Kabinet. -BERNAMA

 

Media Baharu