KUALA LUMPUR, 21 Jun- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3,750 kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag, Semporna untuk tujuan perolehan jaket keselamatan baharu.
Pembelian tersebut akan memanfaatkan keselamatan 23 orang murid dan seorang guru sekolah itu susulan kejadian runtuhan jeti pada awal tahun lalu yang melibatkan murid sekolah tersebut.
"JPN Sabah sedang dalam proses melaksanakan perolehan jaket keselamatan dan dijangka akan diagihkan ke sekolah tersebut selewat-lewatnya Ogos 2023.
Bagaimanapun, sekolah tersebut telah mempunyai jaket keselamatan sedia ada untuk penggunaan murid dan guru. Ini adalah tambahan untuk tukar ganti. Berhubung isu ini, KPM sentiasa memantau status terkini perolehan jaket keselamatan yang dilaksanakan oleh JPN terlibat," kata Lim Hui Ying di Dewan Negara, hari ini, menjawab pertanyaan Senator Puan Norita Sual.
Beliau turut memaklukan kepada sidang Dewan Negara, KPM turut memperuntukan sejumlah RM1.38 juta pada tahun ini untuk perolehan bantuan jaket keselamatan bagi sekolah-sekolah di sembilan buah negeri yang memerlukan.
(Januari lalu, lebih 20 murid SK Pulau Pababag, Semporna
terjatuh ke dalam laut akibat jeti runtuh/Fail)