SJKC Central Site Johor dipindahkan ke Taman Ekoflora susulan kekurangan murid

Foto Facebook Wong Kah Woh

JOHOR BAHRU, 30 Januari – Sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu bakal dibina di Taman Ekoflora, Johor Bahru, Johor dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah dipindahkan dari Ladang Gomali, Segamat kerana kekurangan murid kritikal.
  • Bangunan baharu di Taman Ekoflora dibina dengan peruntukan RM20 juta.
  • Jangka siap dalam setahun dan mula beroperasi penggal kedua 2027.
  • Kapasiti sekolah mampu menampung sehingga 1,250 murid bagi kawasan pesat membangun.

Sekolah berkenaan sebelum ini beroperasi di Ladang Gomali, Segamat sebelum dipindahkan susulan kekurangan murid yang ketara, dengan jumlah pendaftaran hanya lima orang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Central Site Johor (SJKC Central Site Johor) itu dijangka siap dalam tempoh setahun.

Ia mula beroperasi menjelang penggal kedua tahun 2027, dengan kapasiti menampung sehingga 1,250 murid.

Menurut beliau, pemilihan lokasi baharu sekolah itu dibuat dengan mengambil kira faktor kepadatan penduduk serta keperluan mendesak pembinaan kemudahan pendidikan di kawasan pembangunan pesat.

“Pembinaan sekolah ini di kawasan sini adalah amat tepat pada masanya kerana sekiranya kita meninjau di sekitar kawasan ini, pembangunannya amat pesat walaupun ia merupakan satu pembangunan baharu, namun pada masa yang sama ramai penduduk telah berpindah masuk dan permintaan terhadap sekolah adalah tinggi,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyokong usaha Kementerian Pendidikan dalam memperluas pembinaan sekolah di kawasan berpenduduk padat.

“Saya percaya melalui perancangan Kementerian Pendidikan yang dipimpin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta timbalan beliau, lebih banyak sekolah akan dibina di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk besar, sekali gus membolehkan kemudahan serta akses ke sekolah di kawasan perumahan baharu ditambah baik,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui semasa Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Central Site Johor (SJKC Central Site Johor) di tapak sekolah bersebelahan Pusat Komuniti Taman Ekoflora, Persiaran Ekoflora, di sini.