fb fb fb fb fb

Situasi denggi di Perlis membimbangkan, 29 kes baharu

(Foto hiasan)

KANGAR, 3 Ogos- Situasi semasa kes demam denggi di Perlis masih membimbangkan dengan 29 kes baharu dilaporkan bagi tempoh 23 hingga 29 Julai lalu walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 11 kes berbanding minggu sebelumnya.

Kumulatif kes terkumpul juga terus melonjak kepada 577 kes iaitu peningkatan 554 kes atau 2,409 %, berbanding jumlah kes sehingga tempoh sama pada tahun 2022 iaitu 23 kes dengan dua kematian.

Exco Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan memaklumkan, sehingga kini terdapat 58 lokaliti wabak denggi dilaporkan dengan 13 lokaliti wabak denggi masih aktif termasuk empat lokaliti 'hotspot' denggi iaitu Taman Jali, Taman Melati Indah, Felcra Lubuk Sireh dan Taman Hijrah.

Sebanyak dua lokaliti wabak baru turut dilaporkan iaitu Kampung Kurung Tengar dan Taman Berlian, manakala lokaliti sudah tamat wabak denggi tetapi masih berpotensi berulang adalah Felda Rimba Mas, Taman Sena Indah, Taman Kuala Perlis, Taman Bunga Padi dan Taman Kemajuan.

Dalam pada itu, 200 notis kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 turut dikeluarkan kepada premis dan rumah yang didapati mempunyai pembiakan nyamuk Aedes

Kerajaan negeri juga telah mengambil langkah segera mengaktif bagi mengatasi masalah peningkatan kes denggi dengan melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat dan komuniti dalam pelbagai program.

(Foto fail)

Media Baharu