fb fb fb fb fb

Sistem pentadbiran negara perlu anjakan nyata di bawah gagasan MADANI - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Negara memerlukan satu anjakan yang nyata menerusi dasar-dasar yang digariskan di bawah gagasan MADANI.

Ini bagi membetulkan kembali kerosakan yang berlaku dalam sistem pentadbiran negara sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gagasan MADANI menekankan soal ihsan, akhlak, kemanusiaan dan keadilan bagi merawat keterhakisan akibat kemajuan sehinggakan rakyat sanggup membiarkan pimpinan yang rasuah terus bermaharajalela sejak sekian lama.

"Anjakan ini perlu bermula dengan membina semula tatakelola yang baik serta semangat menolak rasuah. Kerana itu Kerajaan ini sedaya upaya menoktahkan budaya mengizinkan kuasa dan sistem pemerintahan dijadikan kesempatan memunggah kekayaan untuk tokoh-tokoh tertentu," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Berucap pada Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Anwar berkata usaha memerangi rasuah perlu bermula dengan menghukum jerung-jerung sebagai satu pengajaran agar perkara tersebut tidak kembali berulang.

"Namun pasti usaha ini akan diselubungi kontroversi. Tentunya seseorang yang punya kekayaan berpuluh bilion tidak akan berdiam diri apabila disiasat dan akan menggunakan segala pengaruhnya untuk melawan.

"Tetapi jika kita berhenti bertindak kerana pengaruhnya, maka tidak layak kita menjadi pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga negara. Risiko perlu dihadapi kerana utamanya adalah negara mesti diselamatkan," kata Anwar.

Untuk itu, Anwar turut memohon sokongan rakyat untuk bersama-sama berpegang kepada prinsip tersebut bagi membersihkan negara daripada amalan yang merosakkan, sekali gus mengangkat martabat Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN