KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Sistem pendidikan negara perlu memberi tumpuan semula terhadap usaha memperkukuh nilai moral dan etika.
Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rentetan beberapa insiden tidak wajar yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini.
Ketua Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Azni Yati Kamaruddin berkata isu itu tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu pihak semata-mata kerana pembentukan nilai memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.
“Kita tidak boleh salahkan satu pihak sebab murid-murid sekarang sangat terdedah kepada media sosial, digital dan juga AI. Kadang idea atau tingkah laku negatif ini datang daripada permainan, televisyen, malah daripada suasana di rumah.
"Nilai bukan diajar, tapi diserap melalui perlakuan dan percakapan ibu bapa kepada anak-anak," kata Dr. Azni kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, pagi tadi.
Beliau menjelaskan pendidikan berasaskan nilai perlu dilihat sebagai satu ekosistem menyeluruh, melibatkan bukan sahaja guru dan sekolah, tetapi juga ibu bapa, komuniti serta rentas kementerian.
“Pendidikan adalah satu ekosistem di mana semua pihak terlibat bukan hanya guru di sekolah, tetapi juga kementerian, agensi dan ibu bapa. Kita tak boleh lagi guna pakai sikap tidak ambil tahu kerana masyarakat hari ini perlu sama-sama membimbing dan membantu murid menjadi insan yang sejahtera," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan program pembentukan karakter bagi memperkukuh pendidikan nilai di peringkat akar umbi.
“Program pembentukan karakter ini akan mula diperkenalkan pada tahun 2026 bermula di prasekolah. Semua guru akan terlibat selama 60 minit seminggu dengan modul khas daripada Kementerian Pendidikan. Ia ambil masa, tetapi kita kena percaya dan beri kerjasama supaya program ini berjaya," jelasnya.
Ujarnya, usaha memperkukuh nilai moral dan etika perlu digerakkan secara bersama demi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak, beradab dan berjiwa insan.