
KOTA BHARU, 21 Januari – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membangunkan satu sistem pangkalan data bersepadu melibatkan lebih 60,000 syarikat pengendali bas ekspres dan lori di seluruh negara, sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan darat.
- Pembangunan sistem pangkalan data bersepadu bagi lebih 60,000 syarikat pengendali bas dan lori untuk memperkukuh keselamatan pengangkutan darat.
- Sistem akan diintegrasikan dengan JPJ, PDRM dan AADK untuk pengesahan kelayakan pemandu dan memberi akses semakan kepada orang awam.
- Fokus pemantauan terhadap sikap, disiplin, kesihatan dan keletihan pemandu selepas peningkatan tindakan punitif terhadap pengendali.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APAD Masita Mat Isa berkata, sistem berkenaan dijangka dilaksanakan seawal suku pertama tahun hadapan, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) yang merangkumi 10,466 syarikat pengendali bas serta 40,668 syarikat pengendali lori dan kenderaan barangan, yang akan disatukan dalam satu pangkalan data pemandu nasional.
Pembangunan sistem itu bertujuan memastikan setiap pemandu kenderaan berat direkodkan dalam satu sistem berpusat bagi membolehkan syarikat pengendali bas dan lori membuat pengesahan kelayakan pemandu, selain memberi akses tertentu kepada orang awam.
“Kami mahu semua pemandu dimasukkan ke dalam satu sistem pangkalan data bersepadu yang akan diintegrasikan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Melalui sistem ini, pihak pengendali dapat mengesahkan sama ada seseorang pemandu itu layak dan sesuai untuk memandu.
“Sistem berkenaan juga membolehkan orang ramai membuat semakan kelayakan pemandu. Semua pemandu kenderaan berat akan disatukan dalam sistem ini dan setiap pemandu akan diberikan kad pemandu sebagai sebahagian daripada perancangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Saya Sihat, Saya Selamat’ anjuran syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad di sini.
Sistem berkenaan juga akan memberi tumpuan kepada pemantauan aspek keselamatan termasuk sikap, disiplin, kesihatan dan keletihan pemandu yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama memerlukan penambahbaikan berikutan peratusan pengecualian pemandu yang masih tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, APAD merekodkan peningkatan ketara tindakan punitif sepanjang tahun lalu apabila sebanyak 659 tindakan diambil, merangkumi 577 penggantungan dan 82 pembatalan lesen melibatkan lesen pengendali (OL), permit kenderaan (VP) dan lesen kenderaan (LK), termasuk kenderaan pelancongan.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding 441 tindakan punitif yang direkodkan pada tahun 2024.
Walaupun peningkatan tersebut ada kaitan dengan pelaksanaan audit keselamatan khas ke atas kira-kira 500 pengendali, ia turut mencerminkan tahap pematuhan keselamatan dalam kalangan sebahagian pengendali masih belum memuaskan.