PUTRAJAYA, 3 Januari - Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran.
Ini sekali gus membantu membasmi kemiskinan tegar di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penyasaran subsidi berkesan dapat memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain.
"Selama ini kerajaan membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu rakyat miskin termasuk di desa dan pedalaman. Namun, semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan itu sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.
"Malahan, subsidi berjumlah hampir RM80 bilion yang sepatutnya hanya dinikmati golongan miskin, turut dinikmati 3.5 juta warga asing dan golongan 'maha kaya'," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Pendaftaran PADU kini dibuka sehingga 31 Mac melibatkan semua rakyat berumur 18 tahun ke atas.