
PUTRAJAYA, 20 Januari – Kerajaan akan mengembalikan sistem Matriks Pembelajaran Malaysia sebagai kaedah penilaian awal murid sekolah rendah bermula 2026, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kerajaan memperkenalkan semula Matriks Pembelajaran Malaysia untuk penilaian awal murid sekolah rendah mulai 2026.
- Penilaian awal dilakukan oleh Lembaga Peperiksaan untuk menilai penguasaan murid tanpa menunggu darjah enam.
- Fokus pada empat subjek teras 2026: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains; Sejarah ditambah tingkatan tiga 2027.
- Intervensi awal dan peningkatan mutu pengajaran dipentingkan, manakala prasarana diperbaiki secara berperingkat.
Beliau berkata, sistem berkenaan melibatkan ujian penilaian darjah empat sekolah rendah yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, bagi menilai tahap penguasaan murid lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga darjah enam.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut beliau, matriks pembelajaran itu memberi tumpuan kepada lima mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Bagaimanapun, bagi pelaksanaan awal pada 2026, penilaian hanya melibatkan empat subjek teras, manakala Sejarah akan dimasukkan bermula tingkatan tiga pada 2027.
“Untuk 2026, kita mulakan dengan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sejarah akan dimasukkan untuk tingkatan tiga mulai 2027,” katanya.
Perdana Menteri berkata, penilaian awal itu penting bagi membolehkan intervensi dilakukan lebih awal, sekali gus memberi tempoh mencukupi kepada murid untuk penambahbaikan sebelum memasuki peringkat sekolah menengah.
“Ini bermakna, dalam tempoh darjah lima dan darjah enam, murid mempunyai ruang untuk diperbaiki sebelum melangkah ke tingkatan satu,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan sekolah, Datuk Seri Anwar mengakui mutu kemudahan asas masih menjadi antara cabaran utama, namun kerajaan komited melaksanakan penambahbaikan secara berperingkat.
Sebagai langkah permulaan, beliau berkata kerajaan akan memilih lima sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan di setiap daerah untuk dilengkapkan dengan kemudahan terbaik.
“Kita akan lengkapkan lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah ini dengan kemudahan sebaik mungkin,” katanya.
Namun, Perdana Menteri menegaskan fokus utama pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bukan semata-mata kepada prasarana, sebaliknya menekankan mutu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.