KUALA LUMPUR, 11 September - Perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya perlu dipikul bersama rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, usaha memelihara keharmonian memerlukan kerjasama menyeluruh dan tidak boleh disandarkan kepada kerajaan semata-mata.
Katanya, forum seperti Forum Perpaduan Nasional 2025, anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) wajar diperbanyakkan kerana membuka ruang kolaborasi dengan NGO dalam menganjurkan lebih banyak program perpaduan.
“Saya ingin mengingatkan rakyat supaya meneliti perkembangan di rantau ini kerana hampir semua negara jiran sedang berdepan dengan konflik dalaman.
“Keadaan ini wajar menjadi pengajaran bahawa keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia perlu sentiasa dipelihara dengan mengamalkan prinsip saling memahami, menghormati serta bersikap sederhana. Sikap melampau hanya akan menjejaskan kemajuan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perpaduan melalui jentera rukun tetangga, mediator komuniti dan sistem digital e-SEPakat sentiasa memantau sebarang isu yang menjejaskan perpaduan.
Menurutnya, inisiatif itu diperkasa dengan pengenalan RAKAN serta peluasan fungsi e-SEPakat yang membolehkan rakyat melapor sebarang elemen atau unsur yang cuba memecahbelahkan masyarakat.
“Dengan usaha pemantauan ini serta kerjasama rapat bersama PDRM, kita dapat memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan tenang, rakyat hidup gembira, dan suasana aman tenteram terus terpelihara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Perpaduan Nasional 2025, hari ini.