KUALA LUMPUR, 25 November- Kementerian Kerja Raya akan menambah Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) yang membolehkan pemandu membayar tol menggunakan kad kredit, kad debit dan kad prepaid di setiap lorong tol bagi melancarkan aliran trafik serta memudahkan proses pembayaran.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan penambahbaikan Sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) juga sedang dilaksanakan oleh syarikat konsesi lebuh raya secara berterusan dalam menyelesaikan isu sama.
"Untuk isu teknikal, syarikat konsesi lebuh raya telah melaksanakan penalaan (fine-tuning) lebih kerap di lorong-lorong RFID," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohammad Jan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa syarikat konsesi lebuh raya juga kerap membuat hebahan kesedaran kepada pengguna supaya memastikan baki e-wallet mencukupi sebelum melalui plaza tol.
Selain itu, Ahmad berkata kementerian masih menunggu sokongan daripada 33 syarikat konsesi dalam pelaksanaan sistem tol tanpa palang atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang dijangka mempermudah lagi urusan pembayaran tol.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu meminda akta tertentu sebelum MLFF dilaksanakan bagi mengelak pertambahan pengguna lebuh raya yang culas membayar tol.
Setakat ini, jumlah pengguna yang tidak membayar tol ialah 0.01 peratus antaranya disebabkan oleh tailgating (mengekori rapat di belakang kenderaan).
"Palang tol ialah bentuk kawalan, jika sesiapa yang tidak bayar boleh kelihatan dengan jelas… tetapi, kalau ada sistem tol tiada rumah tol macam sekarang, maka mereka yang tidak bayar tol akan bertambah, jadi sekarang kita kena pinda akta bagaimana kaedah (atau) siapa yang kena bayar (jika) mereka lari daripada pembayaran tol ini?" katanya lagi.
Keputusan mengenai penggunaan MLFF akan dimuktamadkan pada 16 Disember ini berdasarkan perjanjian yang ditetapkan.
Hingga kini, beliau berkata sebanyak 20 syarikat konsesi lebuh raya sedang dalam rundingan manakala 13 lagi masih belum bersetuju menggunakan sistem berkenaan.