PUTRAJAYA, 7 Disember- Prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan diguna pakai bagi pembentukan karakter murid dalam Sistem Baharu Pendidikan Negara 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik dan pertumbuhan idea yang tinggi akan diterapkan .
"Pendidikan karakter ini akan dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas. Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, satu slot khusus akan diperuntuk bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu.
Ia akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah, menggabungkan isi kandungan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin ilmu.
Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui murid secara holistik, manakala pembelajaran akan lebih fleksibel bagi menambah minat pelajar.