fb fb fb fb fb

Sistem Arkib TV baharu RTM menang anugerah APB+ 2024 di Singapura

Amirah Jaafar Mad Ariff (kiri) pada majlis anugerah APB+ 2024 di Singapura pada 30 Mei lalu

ANGKASAPURI, 8 Jun- Sistem Arkib TV baharu Radio Television Malaysia (RTM) berjaya merangkul anugerah dalam kategori Transformasi Digital Malaysia di Asia Pasific Broadcasting (APB+) 2024 di Singapura pada 30 Mei lalu.

Jurutera Seksyen Kejuruteraan Digital Interaktif Bahagian Operasi Penyiaran RTM, TS. Amirah Jaafar Mad Ariff berkata, ia merupakan projek hasil gabungan idea dan reka bentuk bersama pihaknya, Media City serta syarikat pengintegrasi sistem iaitu Ideal Systems di bawah projek Kota Media.

Sistem yang telah siap sepenuhnya pada 30 Jun tahun lalu itu berfungsi secara automasi sepenuhnya bagi pengurusan bahan siaran TV RTM.

"Ia dilengkapi dengan sistem utama iaitu 'Blue Lucy Asset Management system (BLAM)' yang berfungsi mengurus aset-aset media RTM dan berintegrasi dengan sistem berita, studio, non-linear editing, library management dan transmission operation centre.

"Sistem ini juga reka sebagai sistem arkib berpusat dengan kapasiti storan sebanyak 20 petabyte (pb).

"Proses memindahkan dan restorasi bahan arkib juga akan lebih pantas dan menjimatkan masa berbanding dengan sistem sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini di ibu negara.

Tambah Amirah, kemenangan tersebut menjadi pemangkin bagi perancangan akan datang seperti memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam sistem berkenaan, selain membolehkan bahan-bahan RTM dikomersialkan.

SITI AISHAH MD ISA