KANGAR, 7 Disember- Sistem Aduan Rakyat yang dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar menerima kira-kira 500 aduan bagi tempoh April 2023 hingga penghujung Disember 2023.
Sistem itu merupakan platform khas untuk kemudahan dan keselesaan penduduk setempat menyampaikan permasalahan khususnya di kawasan Parlimen Kangar yang mewakili lima kawasan Dewan Undangan Negeri.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, inisiatif itu membolehkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi membantu penduduk setempat.
"Aduan paling banyak diterima melibatkan bantuan membaiki kediaman berikutan 12 siri kejadian ribut. Selain itu bantuan untuk pesakit terlantar, kemudahan awam termasuk naik taraf jalan kampung dan sumbangan barangan keperluan harian.
"Pengurusan UMNO Bahagian Kangar akan bekerjasama dengan pemimpin setempat termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan agar setiap permasalahan di kawasan setempat dapat diambil tindakan segera dan tiada yang tercicir bagi mendapatkan bantuan diperlukan," kata Dr Fathul dalam Program Ziarah Kasih sekitar Parlimen Kangar di sini.
Dalam ziarah itu empat keluarga menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai daripada UMNO Bahagian Kangar.
Bagaimanapun aduan yang diterima akan diteliti dan bantuan segera disalurkan pasukan UMNO Bahagian Kangar terutamanya melibatkan keselesaan, keselamatan serta kehidupan seharian.