
SHAH ALAM, 23 Januari – Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta terus menjadi pemangkin penting dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan negara, khususnya dalam usaha mempromosi dan memperkasakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
- Sinergi awam dan swasta diperkukuh untuk memacu pertumbuhan industri pelancongan menerusi TMM 2026.
- Kerjasama itu menjana limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan.
- Fokus diperluaskan kepada pelancong antarabangsa selain pasaran domestik.
- Pasar raya tempatan digalakkan tawar harga berpatutan untuk tarik perbelanjaan pelancong dan promosi pengalaman Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata sinergi sedemikian bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah turut menjana kesan limpahan ekonomi kepada industri berkaitan seperti peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan.
Menurut beliau, pasaran pelancongan negara kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pelancong domestik, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pelancong dan pelawat antarabangsa.
“Kita tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pelanggan domestik. Pelancong dan pelawat antarabangsa juga merupakan sebahagian daripada pasaran kita.
“Kejayaan TMM 2026 bergantung kepada komitmen berterusan semua pihak. Kolaborasi ini membuktikan sinergi awam dan swasta mampu menjadikan sektor pelancongan negara lebih relevan dan mampan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri MOTAC, Chiew Choon Man, pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik antara Tourism Malaysia dan AEON Co. (M) Bhd yang berlangsung di Shah Alam.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar pasar raya tempatan terus menawarkan harga yang berpatutan dan munasabah, sekali gus menjadi faktor pendorong kepada pelancong untuk berbelanja serta membeli barangan di Malaysia.
“Pasar raya dan ruang runcit bukan sekadar tempat membeli keperluan harian, tetapi juga platform untuk memahami cita rasa tempatan, bahan makanan, budaya makan serta gaya hidup masyarakat setempat.
“Apabila harga berpatutan, produk mudah diakses dan pengalaman membeli-belah selesa, pelancong bukan sahaja berbelanja, malah berpotensi menjadi duta yang mempromosikan Malaysia melalui pengalaman mereka,” tambahnya.