KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan bernilai jutaan ringgit sebulan yang didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Sohor di selatan tanah air.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, operasi hasil risikan selama setahun itu dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) bermula pukul 6.30 pagi, hari ini.
Menurut sumber, lima pegawai kanan ATM, dua bekas anggota ATM dan lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia, berusia 30 hingga 55 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang.
Difahamkan, pegawai terbabit yang sepatutnya memantau aktiviti penyeludupan dipercayai bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu, membocorkan maklumat operasi ketenteraan serta menerima rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan.
Sindiket itu didakwa membawa masuk dadah, rokok dan barangan larangan lain dari negara jiran dengan nilai mencecah RM5 juta sebulan, mengaut hasil rasuah melebihi RM3 juta.
Serbuan turut merampas wang tunai lebih RM63,000, dadah, alat penimbang, minuman keras dan senjata tiruan. Seorang wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah yang dipercayai mempunyai hubungan dengan salah seorang suspek turut ditahan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan, kegiatan penyeludupan melibatkan pegawai keselamatan adalah serius kerana boleh menjejaskan keselamatan negara. Semua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.