PUTRAJAYA, 28 Mac- Jabatan Imigresen (JIM) menahan dua lelaki warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang disyaki dalang utama sindiket pekerja asing menerusi operasi khas semalam di ibu negara.
Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh menerusi satu kenyataan memaklumkan, modus operandi sindiket adalah dengan menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) dengan menyasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia.
"Sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di pejabat imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama setahun dengan bayaran yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ini antara RM1,500 hingga RM2,000," katanya.
Hasil semakan awal mendapati lelaki Myanmar itu berstatus Pemastautin Tetap (PR) manakala lelaki Bangladesh itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Sektor Perkhidmatan yang masih sah laku dan kedua-dua mereka telah berkahwin dengan warga tempatan.
Beliau berkata pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM91,550.00, 12 pasport Bangladesh, senaskhah pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan program RTK dan tiga unit telefon bimbit.
Kedua-duanya yang berusia antara 50 dan 52 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Kini, kedua-dua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Datuk Rusli berkata tiga individu tempatan juga telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 155, Akta 150, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.