fb fb fb fb fb

Silibus pendidikan tinggi mengenai Islamfobia sedang dibangunkan

Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 27 September- Kerajaan dalam peringkat awal membangunkan suatu silibus atau disiplin akademik mengenai Islamofobia dan cara menanganinya bagi institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata silibus itu sedang diteliti Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti luar negara yang telah menawarkan kursus sedemikian.

"Kami baru-baru ini juga adakan pertemuan dengan Persatuan Saintis Sosial Muslim dan beberapa persatuan lain untuk membincangkan pembentukan satu disiplin akademik baharu untuk tangani islamofobia secara tuntas.

"Insya-Allah dalam masa terdekat, akan ada penawaran untuk program berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Usrah MADANI 4.0 yang bertemakan "Multi-faith Community Interaction on Islamophobia" di sini, hari ini.

Zulkifli berkata pendidikan sedemikian adalah penting untuk menangani kejahilan masyarakat pada erti dan pengajaran sebenar Islam, yang menjadi antara punca utama berlakunya rasa gusar dan takut kepada Islam dan umatnya.

"Saya mengajak rakyat Malaysia, semua bangsa, semua agama untuk kita sama-sama cuba memahami antara satu sama lain kerana itu merupakan pendekatan terbaik bagi menangani isu Islamofobia serta isu prejudis kaum dan sebagainya.

"Kita perlu jadi masyarakat yang belajar untuk mengenali antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, usrah atau syarahan hari ini disampaikan oleh Prof Khaled Beydoun, seorang pensyarah undang-undang dari Arizona States University, Amerika Syarikat yang terkenal kerana kelantangannya dalam mengulas isu-isu berkaitan Islamofobia.

Khaled berkata menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk berinteraksi dengan penganut agama lain dan berbual perkara yang tidak menyenangkan dengan mereka berhubung ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata Malaysia berpotensi menjadi pusat wacana intelektual dalam perkara itu dan boleh menerajui ke arah memecahkan 'penjajahan' mental moden dengan memerangi salah faham yang berleluasa terhadap Islam.

"Kamu (rakyat Malaysia) mempunyai beberapa universiti Islam terbaik, pusat pembelajaran dan pemimpin. Di sinilah persidangan dan pertukaran intelektual perlu berlaku.

"Setiap cendekiawan Islam terkemuka pada pendapat saya, sama ada di Amerika Syarikat, Eropah atau Kanada, harus meluangkan sedikit masa untuk belajar di Malaysia, kerana anda mempunyai sistem yang boleh kita pelajari dan bawa pulang ke negara kami di Barat," katanya.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI