KUALA PILAH, 23 Ogos – Penglibatan remaja dalam aktiviti seni mempertahankan diri seperti silat mampu memupuk disiplin serta membentuk jati diri mereka.
Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan, Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata, melalui pembelajaran seni silat, golongan remaja dapat menanam nilai keberanian dalam menghadapi cabaran selain menekankan kekuatan fizikal.
“Penting untuk kita menggalakkan generasi muda hari ini terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat. Silat bukan sahaja menekankan aspek fizikal, malah membentuk disiplin, adab serta rasa hormat kepada guru. Nilai-nilai murni ini dapat dikumpulkan melalui penglibatan dalam seni silat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Rakyat: Belia Silat Madani di Kolej Yayasan Negeri Sembilan, di sini yang melibatkan lebih 600 belia termasuk pertubuhan silat dan persatuan wusyu.
Tambah Datuk Ismail, seni silat juga menjadi medium keharmonian yang dapat menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini.
Program anjuran J-KOM Negeri Sembilan bawah program Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti Suwadi Guliling.