fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN : Perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Kerajaan akan mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam di sekitar ibu negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dari 26 hingga 28 Mei ini bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai serta delegasi antarabangsa.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan dapat menyumbang kepada kelancaran trafik dan keselesaan semua pihak sepanjang tempoh persidangan berskala antarabangsa tersebut.

"Untuk tujuan itu, syarikat pengendali pengangkutan awam, Rapidk KL akan melanjutkan tempoh operasi (waktu puncak), menambah kekerapan tren, menempatkan kakitangan tambahan serta memantau keperluan operasi sepanjang tempoh tersebut.

"Kemudahan ini juga dilaksanakan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh berkenaan berikutan penutupan dan lencongan jalan raya secara berperingkat oleh pihak berkuasa melibatkan laluan masuk dan keluar dari ibu negara," menurut kenyataan itu.

Rapid KL akan melanjutkan tempoh operasi rel selama satu jam pada waktu puncak sebelah pagi dan petang bermula 23 Mei hingga 28 Mei.

Sementara itu kekerapan tren pada Sabtu (24 Mei) dan Ahad (25 Mei) turut dipertingkatkan bagi menampung pertambahan penumpang selain menempatkan seramai 400 kakitangan tambahan di stesen-stesen utama untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN.

Beberapa laluan perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan.

Ia melibatkan Laluan 402 (LRT Titiwangsa–LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa–KLCC),Laluan 300 (Hab Pandan Indah–Lebuh Ampang),Laluan 303 (Taman Mulia Jaya–Lebuh Ampang) dan Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa–Chow Kit).

Pengguna bas yang menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk menggunakan perkhidmatan rel.

"Antara stesen rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay (Laluan Putrajaya) dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL)," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu pengguna turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal menerusi aplikasi PULSE, serta mempertimbangkan alternatif rel bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI