KUALA LUMPUR, 26 Mei - Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menjadi medan utama para pemimpin ASEAN untuk menilai perkembangan rantau ini dalam tiga aspek utama, iaitu politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosio budaya.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang berprofil tinggi itu turut memberi ruang kepada perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang semakin kompleks.
"Perdana Menteri sering menegaskan, bahawa di Kepengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.
"Fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan," katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) sempena sidang tersebut, di sini hari ini.
Antara isu penting yang menjadi perhatian para pemimpin dalam sidang kali ini termasuk isu Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital serta rantaian bekalan.
Sementara itu, Tunku Nashrul berkata Malaysia juga turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua serta satu inisiatif baharu, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN- GCC- China yang dijadual berlangsung esok.
Sidang Kemuncak ASEAN - GCC itu akan menumpukan kepada penilaian pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN - GCC 2024-2028 yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama termasuk pendidikan dan perdagangan bebas.
"Sidang Kemuncak ASEAN - Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang akan dijalankan juga mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990. ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak AS$390.2 juta," katanya.
Tambah Tunku Nashrul, hari pertama sidang menyaksikan pelbagai pertemuan penting yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin ASEAN serta wakil daripada pelbagai sektor dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau.