(Persekitaran Pusat Kovensyen Jakarta yang akan menjadi venue utama
Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dari 5 hingga 7 September 2023/Foto Bernama)
JAKARTA, 3 September- Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Jakarta, Indonesia akan bermula Selasa ini hingga 7 September.
Ia akan menjadi medan membincangkan isu susulan berhubung kerjasama lanjutan dengan negara-negara Asean termasuk ekonomi dan juga aspek sekuriti makanan negara.
Sidang Kemuncak kali ini merupakan sidang pertama bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir isu sekuriti makanan negara juga antara yang akan dibincang dalam sidang kali ini.
Selain turut memberi fokus kepada isu dalaman ASEAN serta menyentuh isu penting dalam dan luar rantau ASEAN.
"Sidang kemuncak merupakan platform hubungan bagaimana kita melihat dalam konteks yang lebih luas...dalam masa yang sama akan kita kemukakan jalan-jalan penyelesaian.
"Dan dalam usaha negara ASEAN dan negara-negara yang berkenaan untuk kita bincangkan berdasarkan perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama...bagi kita mencapai penyelesaian dan kalau sekiranya ada konflik dan sebagainya," katanya dalam sidang media di sini.
(Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir)
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 akan didahului dengan beberapa mesyuarat peringkat Menteri Luar Negeri ASEAN, esok.
Zambry berharap penyertaan Malaysia dapat mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik serta menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalin hubungannya dengan rakan-rakan luar.
Ketibaan Perdana Menteri esok akan diiringi isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada Selasa, Perdana Menteri akan menghadiri Upacara Perasmiaan ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF) serta 11 Pertemuan Dua Hala sepanjang sidang berlangsung.
Selain itu, pertemuan dengan rakyat Malaysia dan sahabat Indonesia juga dijadual dalam Program Temu Anwar.
Penglibatan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 merupakan komitmen teguh negara terhadap usaha pembinaan komuniti ASEAN, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar serta usaha menggalakkan keamanan dan kestabilan tatkala menghadapi evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar.
Ia juga merupakan medium terbaik kepada Malaysia dalam meneruskan agenda serta mengetengahkan suara, pandangan dan kepentingan negara di rantau ini.
Sekali gus dapat meningkatkan imej dan kedudukan Malaysia di mata dunia.
Laporan Aiza Farina Adam dari Jakarta.